Teringat pada satu rangkaian kata "yang tua di hormati dan yang muda di sayangi". Menuturkan kata itu memang indah, tapi praktikalnya begitu payah untuk di realitikan. Apabila dikaji kembali segala punca tercetusnya isu ketidakserasian antara senior-senior dengan junior-junior, segalanya kembali kepada diri masing-masing untuk menilai. Sebagai contoh, setakat manakah seorang junior atau adik-adik yang berumur lebih muda remaja itu faham kepada konsep "menghormati yang tua" seperti yang selalu di sebut-sebut. Adakah hormat itu dengan bermaksud 'berjumpa dengan senyuman serta memberi salam, jika sama jantinanya adik lelaki bersalaman dengan abang-abang sambil bertanya khabar'?. Benar ke?
Ataupun dalam suasana sebuah organisasi, yang muda harus mematuhi serta menghormati pendapat yang tua, tapi tidak semestinya menerima kerana apabila namanya organisasi, bermaksud mempunyai ahli mesyuarat yang berkuasa dalam menentukan sesuatu keputusan bagi pihak persatuan. Dan ahli mesyuarat tersebut semestinya terdiri dari abang, kakak dan juga adik ataupun senior-senior dan juga junior-junior. Justeru itu, keterbukaan dalam menerima sebarang pendapat atau kritikan dari seluruh pihak adalah faktor terbaik keserasian dalam sebuah persatuan. Tetapi awas! Keterbukaan bukan bererti bebas, kerana dalam ISLAM sendiri, setiap perkara ada etika dan peraturannya yang tersendiri. Namun begitu, bila namanya pemuda, anak muda yang masih punya semangat baru, terkadang keegoan diri memakan rasa hormat kepada senior-senior. Lantaran ego dan tidak mahu mengalah itu jugalah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan senior-senior. Ops! Bukan bermaksud ingin menyalahkan warga junior di sini. Cuma itulah hakikat dan realitinya. Fikir-fikirkan
Berbalik kepada sambungan rangkaian "yang muda di sayangi". Secara langsungnya ia ditujukan buat senior-senior yang terlebih dahulu menerajui kehidupan sebagai pegawai simpanan. Golongan yang berfikiran lebih matang dan banyak pengalaman ini sangat banyak menabur bakti dalam memperkasakan ROTU sehingga mampu bertahan ke hari ini. Dari intake satu hinggalah intake 13 sekarang. Sesungguhnya segala usaha senior-senior terdahulu dan masa kini amat memberi impak yang besar buat generasi ROTU di masa akan datang. Namun begitu, apabila kedatangan junior-junior yang baru di sisi mereka yang lama ini, pelbagai ragam dan aksi dapat di lihat, pelbagai sikap dan pemikiran mula di pamerkan, terkadang mencetus perbezaan pendapat dan sebagainya.
Jangan lekas melatah! Kelihatan seperti ingin membela senior-senior barangkali. Sekadar ingin mengajak sahabat-sahabat untuk berfikir kembali. Bagi golongan senior pula, adakah sudah cukup kasih sayang di limpahkan untuk junior-junior? Atau hanya sekadar sahaja, hanya tertumpu pada saat awal kedatangan mereka. Seterusnya dibiarkan masing-masing membawa haluan sendiri untuk meneruskan nafas di sini, bumi yang jauh dari keluarga tercinta. Mungkin ada di kalangan senior-senior yang tidak pandai untuk bermesra ataupun berukhuwah dengan junior-junior. Perbezaan umur mahupun pangkat yang ketara mungkin manjadi puncanya. Ataupun,kaedah komunikasi yang digunakan tidak kena dengan gayanya.
Situasi yang di sebut sejujurnya tidak menuduh mana-mana pihak, sekadar mengambil contoh dari apa yang telah berlaku dan sedang berlaku. Sebenarnya segala yang terjadi berpunca dari erti sebuah "faham". Saling memahami dan menerima kelemahan amat di tuntut dalam membentuk ukhuwah yang dinaungi mawaddah dan rahmah. Secara umumnya, mungkin segala ketidakpuasan hati antara kedua belah pihak, perlu di baiki dalam diri sendiri. Kembali menilik diri, "aku sebagai senior. Apa yang telah aku buat? Cukupkah aku menjaga kebajikan junior-junior? Saudara seIslamku, mahu mereka sama-sama merasa keberkatan berada di Bumi ROTU' ini. Adakah sudah cukup bantuanku untuk mereka, sama-sama bersusah didalam kepayahan, dan berbahagia di dalam kenikmatan?" mungkin itu persoalan yang perlu berlegar dalam minda senior. Sebaliknya pula pada junior "aku sebagai junior,adakah sudah cukup rasa hormat yang aku letak pada senior-seniorku? Sudah elokkah komunikasi antara aku dengan mereka? Adakah aku terlalu mengikut jiwa muda dalam tindakan harianku? Adakah aku pernah memikirkan insan-insan yang terlebih dahulu menjadi perintis di lembah asing ini? Adakah segala tunjuk ajar serta nasihat mereka aku ikut dengan baik? Atau sekadar mencebik keegoaan?" Betul ke?? Fikirkan lah...
Secara kesimpulannya, kembalilah kita semua kepada fitrah, fitrah sebagai seorang muslim. Muslim yang sempurna dalam berukhuwah keranaNya tidak kira usia tua mahupun muda. Tanamkan rasa kasih dan sayang sesama kita. Fahamkanlah insan-insan yang masih dalam kekeliruan tentang cinta antara dua darjat usia ini. Ops! Bukan cintan cintun, bahkan cinta kasih sesama kita untuk memperteguhkan lagi kesatuan yang ada di bawah nama ROTU. Pupuklah rasa saling faham-memahami antara senior dan juga junior. Menerima setiap pendapat dan kutukan dengan hati terbuka serta bertegas dalam menyatakan kebenaran perlu segera di laksanakan untuk kembali menyatukan yang berpecah, mengeratkan yang terungkai serta menyimpulkan ikatan yang hampir terlerai. Kita hanyalah hambaNya, dan insan-insan sekeliling kita juga hambaNya, justeru itu, berbuat baiklah sesama hamba demi janji dan ikrar kalimah syahadah dalam diri hamba yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya, dalam kesakitan teruji kesabaran, dalam perjuangan teruji keikhlasan dan dalam ukhuwah teruji ketulusan hati. Salam ukhuwah buat semua.
Morse Code Translation
Senior-senior vs junior-junior
Labels: PesananPosted by Rotu Navy Uitm at 11:34 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Samuderaya
Email rotunavyuitm@gmail.com | Hasil tangan Rotu Navy Uitm
0 comments:
Post a Comment