Morse Code Translation

Type in a word or phrase:


Kapal selam kedua negara


Langkawi, 1 Jul – Malaysia hari ini sekali lagi menempa sejarah dengan ketibaan kapal selam kedua negara iaitu Kapal Diraja TUN RAZAK di Perairan Pulau Langkawi. Pelayaran pulang KD TUN RAZAK menjadi lebih istimewa kerana telah mencatat satu peristiwa penting apabila diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al- Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahudddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan selaku Kepten Yang Dipertua TLDM mencemar duli untuk mengikuti pelayaran bersama KD TUN RAZAK. Turut bersama mengikuti pelayaran tersebut ialah YBhg Datuk Hj. Abd. Latiff bin Ahmad; Timbalan Menteri Pertahanan dan YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Jaafar; Panglima Tentera Laut.





Keberangkatan DYMM Tuanku Sultan Selangor mencemar duli dalam pelayaran bersama KD TUN RAZAK ini menzahirkan sokongan serta kebanggaan DYMM Tuanku terhadap perkembangan TLDM khususnya tentang angkatan kapal selam dengan ketibaan KD TUN RAZAK ini. Keberangkatan ini juga menggambarkan keyakinan Baginda terhadap keupayaan dan kemahiran warga KD TUN RAZAK dalam mengendalikan aset strategik negara yang berteknologi tinggi ini. Keberangkatan baginda telah sekali gus menyangkal persepsi negatif terhadap isu keupayaan kapal selam yang dibangkitkan sebelum ini.


KD TUN RAZAK akan tiba di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada hari esok, Jumaat bersamaan 2 Jul 10, jam 4 petang. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahu-Lah turut berkenan mencemar duli berangkat ke Pangkalan TLDM Lumut bagi meraikan sambutan ketibaan KD TUN RAZAK di tanah air.


KD TUN RAZAK telah memulakan pelayaran pulang pada 30 April 2010 dari Toulon, Perancis. Pelayaran tersebut telah mengambil masa selama 64 hari dan telah singgah di empat buah perlabuhan bagi tujuan ulang bekal iaitu di Pelabuhan Iskandariah Mesir, Jeddah Arab Saudi, Salalah Oman dan Cochin India sebelum tiba di Pangkalan TLDM Lumut. Perjalanan sejauh 7283 batu nautika ataupun bersamaan 13,488 km ini juga turut merentasi Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi dan Selat Melaka. KD TUN RAZAK juga telah berjaya melaksanakan 85% selaman iaitu selama 40 hari daripada 47 hari tempoh berada di laut.


KD TUN RAZAK telah ditauliahkan di Limbungan NAVANTIA Cartagena, Sepanyol pada 5 November 2009. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh 32 orang pegawai dan anggota TLDM. Kejayaan krew KD TUN RAZAK serta warga TLDM yang terlibat secara langsung dalam memastikan KD TUN RAZAK selamat kembali ke tanah air menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia kerana kebanyakkan negara pengendali kapal selam membawa pulang kapal selam dengan menggunakan perkhidmatan kapal kargo.


Kehadiran KD TUN RAZAK di dalam inventori TLDM memantapkan lagi tunggak pertahanan maritim negara. Ia adalah bukti komitmen dan usaha Malaysia dalam memastikan kedaulatan perairannya sentiasa terpelihara. Dengan perolehan kapal selam ini, ditambah dengan aset-aset strategik sedia ada sebagai force-multiplier, ianya sudah pasti akan meningkatkan keupayaan peperangan TLDM dengan signifikan sekali.

0 comments:

Samuderaya